Perutusan

Ucapan alu-alu Pengerusi (Penaja) ketika mesyuarat penubuhan Koperasi GBS KL Berhad
 
Bismillah ir-Rahman ir-Rahim
Rabbish rahli sadri wa yas-sir li amri wahloul uqdatam mil-lisaani yafqahu qawli

Assalamualaikum Waramatullahi Wabarakatuh,

Yang Berusaha, Puan Pengacara Majlis,
Yang Dihormati, Puan Salbiah wakil dari pejabat SKM (Wilayah Persekutuan),
Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama memanjatkan, rasa syukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan izin dan limpah kurnianya dapat kita bersama hadir dalam majlis pada pagi ini.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan di atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekalian, di dalam mesyuarat Agung penubuhan Koperasi Gagasan Bumiputera Setia Kuala Lumpur Berhad pada pagi ini.

Tuan-tuan dan puan-puan, para hadirin yang dihormati sekalian,

Kemampuan gerakan koperasi dalam menjana ekonomi, memang sudah diakui. Mengikut perangkaan seramai 3 bilion orang atau setengah daripada penduduk dunia ini, bergantung hidup kepada aktiviti yang berkaitan dengan koperasi. Malah, koperasi juga memainkan peranan yang sangat penting dalam memacu ekonomi di kebanyakan negara.

Pencapaian melalui aktiviti koperasi juga telah berupaya mewujudkan peluang-peluang perniagaan selain menawarkan peluang pekerjaan. Ini jelas membuktikan bahawa aktiviti koperasi, mampu menjana peluang ekonomi negara secara amnya, selain membawa manfaat kepada anggota dan masyarakat setempat khususnya.

Atas kesedaran itu, maka saya dan rakan-rakan telah mengadakan beberapa siri perbincangan, bagi merealisasikan impian dan cita-cita ini. Kami telah sepakat untuk menubuhkan koperasi yang bakal dicadangkan ini, sebagai satu usaha untuk mewujudkan peluang-peluang perniagaan.  Dan melahirkan golongan usahawan yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain.
Tuan-tuan dan puan-puan, para hadirin yang dihormati sekalian,

Bagi membangunkan sesebuah koperasi, ia bukanlah hanya tugas Anggota Lembaga Koperasi (ALK) sahaja, sebaliknya ia adalah tugas bersama, terutamanya sokongan padu daripada kalangan ahli dan anggota-anggotanya.

Buat permulaan, kami semua mencadangkan untuk menjalankan aktiviti penternakan ayam daging dan memasarkan sendiri, produk ini sebagai satu usaha untuk menjana pendapatan permulaan. Saya dan rakan-rakan, akan cuba mendapatkan khidmat nasihat, dan sokongan dari agensi-agensi yang berkaitan bagi memastikan usaha ini, membuahkan hasil dan pendapatan yang mampu dikongsi bersama semua ahli dan anggota koperasi.

Selain dari itu, pihak kami juga akan sentiasa berusaha dan mencuba untuk menerokai, bidang-bidang usahawan yang lain, bagi menambah pendapatan dan modal berbayar koperasi, agar dapat di manfaatkan oleh semua anggota dan ahli.

Ia selaras dengan matlamat dan tujuan penubuhan koperasi ini, yang mengutamakan kepentingan sosioekonomi anggota-anggotanya menerusi prinsip-prinsip koperasi dengan menggalakkan sikap kerjasama dan permuafakatan, antara anggota bagi membantu antara satu sama lain.

Melalui aktiviti ini juga, insyallah akan mampu menjadikan anggota koperasi untuk lebih bersikap dinamik, inovatif dan progresif. Tidak ketinggalan juga, penubuhan koperasi yang di cadangkan ini, turut berhasrat untuk menjaga kepentingan dan kebajikan ahli melalui sumbangan khairat kematian dan kebajikan yang akan dicadangkan mengikut kemampuan dari semasa ke semasa.

Harapan saya dan rakan-rakan, semoga semua usaha murni ini, dapat dilaksanakan dengan jayanya. Insyallah berkata sokongan dari semua anggota dan ahli sekalian, suatu hari nanti kita mampu untuk menjadi antara koperasi yang berjaya dan disengani, baik kawan mahupun lawan.

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan aturcara, majlis kita pada pagi ini
   
Akhir kalam, saya sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir. Semoga penubuhan koperasi dan mesyuarat Agung permulaan kita pada pagi ini, akan berjalan dengan lancar dan diberkati oleh Allah SWT. Sesungguhnya semua yang baik itu datang dari Allah swt jua, dan segala kekurangan adalah merupakan kelemahan dari kita sebagai makhluknya.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih